Makam Maharaja Qinshihuang yang terletak di bahagian barat China merupakan makam maharaja yang paling besar, yang strukturnya paling istimewa dan barangan yang dikuburkan paling banyak di dunia. Manakala patung tanah liat berupa perwira dan kuda, yang juga dikenali sebagai "Terra Cotta", sebagai sebahagian daripada makam Maharaja Qinshihuang ini, digelar sebagai keajaiban ke-8 di dunia dan amat terkenal, sama seperti piramid di Mesir.
Maharaja Qinshihuang merupakan maharaja pertama zaman Dinasti Qin, iaitu dinasti pertama pada zaman feudal China. Maharaja ini telah memberikan sumbangannya yang amat besar kepada perkembangan masyarakat China, walaupun bersifat kejam. Maharaja Qinshihuang adalah pemimpin yang pertama menyatukan seluruh China sebagai sebuah negara. Baginda telah mengambil banyak tindakan untuk mendorong pembangunan ekonomi dan kebudayaan, seperti menyatukan mata wang, tulisan dan sistem ukuran. Baginda telah membina Tembok Besar untuk mempertahankan negaranya daripada serangan musuh dari utara. Tindakan-tindakan tersebut menyebabkan baginda menjadi tokoh politik yang terkenal pada zaman silam. Walau bagaimanapun, baginda dianggap sangat kejam dan suka pada kemewahan.
Untuk mengawal fikiran orang awam, baginda telah membakar buku. Untuk mengukuhkan pentadbirannya, baginda telah membunuh dan menanam hidup-hidup sarjana yang berbeza pendapatnya daripada baginda. Selain itu, baginda telah membina beberapa banyak bangunan yang megah dan mewah untuk menghiburkan hati.
Tidak lama selepas menyatukan seluruh negara, Maharaja Qinshihuang telah memulakan pembinaan makamnya. Seramai 700 ribu orang pekerja dikerah untuk membina makam baginda selama 40 tahun. Apabila baginda mangkat, makamnya masih belum siap dibina.
Makam Maharaja Qinshihuang terletak di Lishan, kawasan luar bandar Xi'an, ibu kota Provinsi Shaanxi. Kawasan makam ini luasnya lebih 56 kilometer persegi. Makam yang berbentuk piramid ini, panjangnya 350 meter, lebarnya 345 meter dan tingginya 76 meter. Di sekitar makam ini, terdapat lebih 500 buah makam sampingan. Antara makam-makam sampingan tersebut, ada makam kereta kuda yang diperbuat daripada tembaga, makam tempat pemeliharaan kuda di istana, dan patung tanah liat berupa perwira dan kuda yang melambangkan tentera Dinasti Qin.
Kereta berkuda yang diperbuat daripada Tembaga
Patung tanah liat tersebut ditemui secara kebetulan. Pada tahun 1974, ketika petani tempatan menggali perigi, mereka telah menemui banyak serpihan tembikar. Mereka tidak mengambil berat perkara ini dan membuang serpihan tembikar tersebut. Pada waktu itu, seorang ahli arkeologi yang berada di tempat itu menyedari bahawa penemuan ini mungkin amat penting, dan segera memaklumkan hal ini kepada pihak yang berkenaan. Berikutan dengan itu, Patung Tanah Liat Berupa Perwira dan Kuda telah ditemui.
"TERRACOTTA " Patung yang diperbuat dari tanah liat..uniknya wajah patung ini mempunyai rupa yang sangat berbeza dan menurut kajian belum ada satu pun patung terracotta yang serupa wajah nya..
Sekarang sebanyak 500 buah patung tanah liat berupa perwira, 18 buah kereta kuda yang diperbuat daripada kayu, serta lebih 100 buah patung kuda telah digali keluar. Patung-patung perwira tersebut tingginya kira-kira 1.8 meter, air mukanya berbeza-beza dan kelihatan seperti hidup. Ia memperlihatkan teknik pahatan yang bertaraf tinggi pada zaman Dinasti Qin, lebih 2000 tahun yang lalu.
Untuk memlihara makam Maharaja Qinshihuang dengan baik, kerajaan China sekarang masih tidak merancang untuk menggali bahagian utama makam ini. Sehingga kini, China telah menggali keluar lebih 50 ribu buah artifak dari makam-makam sampingan di sekitar Makam Maharaja Qinshihuang, termasuk kereta dan kuda yang diperbuat daripada tembaga yang ditemui pada tahun 1980. Ia dikenali sebagai artifak yang bernilai tinggi dalam bidang arkeologi kerana teknik pembuatannya yang halus dan rumit.
Menurut rumusan kajian yang dibuat, makam Maharaja Qinshihuang ini ialah dunia tiruan yang serupa dengan zaman Dinasti Qin, kerana Maharaja Qinshihuang ingin meneruskan pemerintahannya selepas baginda mangkat. Namun, tiga tahun selepas baginda mangkat, Dinasti Qin telah digulingkan. Tetapi makam Maharaja Qinshihuang masih gah dan menjadi "saksi" perkembangan sejarah China.
Pada tahun 1987, Makam Maharaja Qinshihuang dan Patung Tanah Liat yang Berupa Perwira dan Kuda ini disenaraikan sebagai Warisan Budaya Dunia oleh UNESCO.
No comments:
Post a Comment